Tuesday, May 27, 2008

Lawatan sambil belajar ke Muzium Layang-Layang, Pasir Gudang

Kelab Kanak-kanak JIM Johor Bahru

Lawatan sambil belajar ke Muzium Layang-Layang, Pasir Gudang

Isnin 31 hb Disember 2007

7.30 am Berkumpul di pejabat JIM Taman Desa Skudai .

Pendaftaran dan pembayaran (RM15 seorang) dibuat sebelum anak-anak menaiki 2 buah bas yang telah sedia menunggu. Seramai 75 orang kanak-kanak ( 45 lelaki dan 30 perempuan) menyertai lawatan ini. 4 ibu dan 4 remaja turut serta sebagai fasilitator. Bas bertolak ke Pasir Gudang jam 8.30 am. Sarapan pagi dinikmati diatas bas.

9.30 am Perjalanan ke Muzium mengambil masa hampir satu jam. Sesampainya disana, kanak-kanak dibahagi kepada dua kumpulan, kumpulan lelaki dan perempuan. Kumpulan lelaki memasuki ruangan bengkel dahulu , manakala kumpulan perempuan dibawa melihat pameran dan tayangan video dibahagian lain dalam muzium. Setelah kumpulan lelaki selesai sesi bengkel, mereka dibawa melihat pameran. Sementara itu, kumpulan perempuan pula memasuki bengkel.

i) Sesi penerangan, pameran dan menonton video.

En Anuar bin Abdul Ghani selaku ketua muzium memberi penerangan tentang antara lainnya ;

ð Bagaimana idea untuk mengadakan muzium ini timbul,

ð Bila muzium ini dibina,

ð Festival tahunan yang diadakan ,

ð Penyertaan dari berbagai negara,

ð Jenis-jenis layang-layang

ð Persatuan Pelayang Johor

ð Wau rasmi setiap negeri dalam Malaysia. Wau rasmi bagi negeri Johor adalah Wau Merak

Pelbagai lagi aktiviti diadakan oleh pihak muzium dalam memelihara, menggalak, mengembang, mengekal dan memajukan seni budaya wau tradisional.

Selesai sesi penerangan diatas , En Anuar membawa kami mengelilingi kawasan pameran sambil menerangkan apakah nama layang-layang yang ada, siapa penciptanya dan dari negara mana.

Pelbagai jenis dan bentuk layang-layang yang ada . Sungguh unik, menarik dan berwarna-warni.

Menurut En Anuar lagi, setiap tahun, festival layang-layang antarabangsa, mempunyai konsep yang berlainan. Sebagai contoh, tahun 2006, konsep ciptaan layang-layang berdasarkan tajuk “laut’. Oleh itu, berbagai ciptaan telah dihasilkan seperti layang-layang berbentuk kapal, tapak sulaiman, sotong, ikan dan lain-lain lagi. Sambungnya lagi, layang-layang ciptaan orang dari Asia lebih kepada alam semulajadi , manakala dari Eropah pula lebih kepada bentuk abstrak dan berteknologi tinggi.

Penat juga melihat pameran, sesi ini diakhiri dengan tayangan klip Festival Layang-Layang Antarabangsa bagi tahun-tahun lepas, jenis layang-layang yang masuk bertanding dan cara peserta menerbangkan ciptaan masing-masing.

ii) Sesi bengkel :-

Dalam sesi ini, kanak-kanak diajar membuat layang-layang yang asas. Bahan-bahan telah disediakan oleh pihak muzium . Seorang pegawai muzium (Encik Din) menunjukkan cara membuat layang-layang dihadapan dan kanak-kanak memerhati serta mengikut arahan beliau . Seronok melihat kanak-kanak ini bersungguh-sungguh membuat layang-layang masing-masing.

Para fasilitator juga sibuk membantu kanak-kanak kecil yang agak terkial-kial mencucuk `jarum lidi’ untuk mengikat tali pada rangka layang-layang. Siap sahaja layang-layang, masing-masing tidak sabar untuk ke Bukit Layang-Layang yang terletak dibahagian belakang muzium untuk bermain dengan layang-layang hasil buatan sendiri.

11.00 am Kami semua bergerak menuju padang tempat bermain layang-layang dibelakang bangunan muzium. Alhamdulillah cuaca sangat elok dan amat sesuai untuk bermain layang-layang , panas dan berangin. Apa lagi, anak-anak terus menerbangkan layang-layang masing-masing dengan gembira. Seronok sangat melihat mereka kerana layang-layang buatan sendiri berjaya diterbangkan.

Tidak lama kemudian kelihatan beberapa pegawai muzium keluar ke padang, menyertai kami, untuk menerbangkan layang-layang besar berbentuk `corrugated parachute’ . Rupa-rupanya, pada layang-layang tersebut diikat satu kotak, yang apabila tali disentap, kotak itu mengeluarkan gula-gula yang setiap satunya turun kebumi menggunakan `parachute’. Gula-gula ini melayang ditiup angin dan kanak-kanak dengan gembiranya berlari mengejar gula-gula tersebut. Seronoknya melihat keadaan itu. Rasanya para fasilitator pun ingin mengejar dan mengutip gula-gula yang jatuh itu. Bukan nak sangat gula-gula tu, tapi `for the thrill of it’.

12.15tgh Masa untuk makan tengahari. Bersemangat sungguh kanak-kanak makan. Maklumlah penat dan haus selepas bermain. Ada yang tidak mahu makan, ingin main lagi, cuma berhenti minum air sahaja. Kami biarkan sahaja, tak lama kemudian, dengan sendirinya mereka datang makan.

12.45pm Kanak-kanak dikumpulkan untuk sama-sama bergerak ke Masjid Jamek Pasir Gudang yang terletak bersebelahan kawasan muzium untuk solat zohor disana. Sementara menunggu bas membawa kami pulang, ada lagi yang masih bermain layang-layang di kawasan masjid. Masing-masing tidak puas bermain dan berharap agar dilewatkan waktu bertolak. Fasilitator han1ya tersenyum kerana kami telah berjanji dengan pemandu bas untuk bertolak jam 2 petang dan dengan para ibubapa untuk sampai di pejabat JIM jam 3 petang.

3.00pm Alhamdulillah kami selamat tiba sebagaimana jadual.. Walaupun keletihan, terbayang dimuka kanak-kanak keseronokan menyertai lawatan ini.

No comments: